Thursday, April 1, 2021

BBM3410-2021-MINGGU 2-PENDEKATAN ANALISIS WACANA

 Pendekatan analisis wacana Normaliza Abd Rahim (2018)

            Teori dan pendekatan analisis wacana ada dibincangkan dalam buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi ini. Terdapat 5 elemen dalam pendekatan ini yang dapat menjelaskan peranan setiap elemen melalui ujaran dan teks. Elemen yang terdapat dalam pendekatan ini ialah elemen pra-andaian oleh Abbott (2000), Atlas (1997) dan Brown & Yule (1983). Seterusnya, elemen emosi oleh Cannon (1927), elemen nilai dan budaya yang merujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara (1995), elemen bahasa oleh Stubbs (1983) dan elemen inferens oleh Brown & Yule (1983).

            Elemen pra-andaian yang dipelopori oleh Abbott (2000), Atlas (1997) dan Brown & Yule (1983). Seterusnya, elemen emosi oleh Cannon (1927) merupakan perkara yang dilakukan sebelum memulakan sesuatu tindakan. Elemen pra-andaian ini dibahagikan kepada dua aspek analisis, iaitu intuisi dan konteks. Intuisi yang juga dikenali sebagai gerak hati merupakan istilah untuk kemampuan seseorang dalam memahami sesuatu perkara tanpa melalui pemikiran rasional dan intelektual. Hal ini kerana kefahaman tersebut wujud di luar kesedaran seseorang. Seterusnya, aspek konteks pula dianalisis daripada penerimaan atau penolakan, keperluan, perujukan, anaphora, pengulangan, kekaburan dan penegasan.

            Elemen emosi yang dipelopori oleh Cannon (1927) pula merupakan suatu perasaan yang wujud dalam diri seseorang yang disebabkan oleh rangsangan, sama ada dari dalam diri atau dari luar. Seterusnya, emosi terbahagi kepada beberapa aspek, iaitu emosi positif, negatif dan emosi bercampur. Elemen emosi ini dapat dilihat melalui perangai, personality, mood dan motivasi diri dan dari luar.

            Elemen nilai dan budaya yang merujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara (1995) merupakan salah satu elemen yang dianalisis dari aspek diri, masyarakat dan adat. Perkara tersebut berkait dengan nilai yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai yang terkandung itu termasuklah, jujur, ikhlas, baik hati, kasih saying, kerajinan, kesyukuran, kesederhanaan, berdikari, berhemah tinggi, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kesantunan, hormat menghormati, kerjasama, semangat bermasyarakat, keadilan, kebebasan dan rasional.

            Elemen bahasa pula merupakan bahasa yang merujuk kepada teori yang dicadangkan oleh Stubbs (1983). Bahasa yang dianalisis memfokuskan kepada bahasa pertama, kedua, ketiga dan lain-lain. Seterusnya, bahasa telah dibahagikan dalam dua bahagian, iaitu bahasa formal dan bahasa tidak formal. Selain itu, kesalahan bahasa dan juga aspek linguistik juga dianalisis supaya sesuatu teks itu lebih kritis dan huraian yang dibina lebih jelas dan padat serta maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami dengan baik.

            Elemen inferens yang dipelopori oleh Brown & Yule (1983) terdiri daripada tiga aspek, iaitu rumusan keseluruhan, rumusan topik perbincangan dan penutup kata.  Dalam elemen ini, setiap aspek analisis perlulah dibincangkan supaya ujaran, interaksi, teks dan tulisan juga kan menjadi lebih lengkap, jelas dan padat.

 

 

Rujukan:

Normaliza Abd Rahim (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi.

Terengganu: Penerbit UMT




No comments:

Post a Comment