Thursday, April 1, 2021

BBM3410-2021-MINGGU 2-NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK

 Rujukan:

Normaliza Abd Rahim. (2019). Multimedia dalam Bahasa. Serdang: Penerbit Universiti        Putra Malaysia.

Asas Grafik dalam Multimedia

            Asas grafik merupakan perkara asas yang penting untuk dipelajari dan difahami untuk menghasilkan sesuatu yang mengandungi grafik. Asas grafik terdiri daripada lima elemen penting, iaitu mudah, warna, teks, kesesuaian dan keseimbangan. Setiap hasil grafik yang dihasilkan perlulah mengandungi sekurang-kurangnya dua daripada elemen asas grafik tersebut. Pemilihan foto atau video yang mempunyai asas grafik adalah penting kerana asas grafik merupakan elemen yang penting dalam setiap grafik yang dipaparkan dan ia akan membuatkan mesej yang hendak disampaikan dapat difahami oleh pembaca atau orang yang melihat grafik tersebut.

            Elemen mudah dalam sesuatu grafik merupakan kefahaman yang diperolehi oleh seseorang semasa melihat sesuatu grafik sama ada dalam bentuk foto ataupun video. Jika elemen mudah ini terdapat dalam grafik yang dihasilkan, orang yang melihat grafik tersebut dapat menggambarkan dan memahami mesej yang hendak disampaikan atau mesej yang terdapat dalam sesuatu grafik tanpa sebarang kekeliruan. Contohnya, sekeping foto sebuah kereta berwarna hitam yang terletak dihalaman rumah. Seseorang yang melihat foto tersebut akan memahami bahawa foto itu ialah sebuah kereta berwarna hitam.

            Elemen warna dalam grafik pula didefinisikan sebagai kombinasi warna dalam sesuatu grafik sama ada dalam bentuk foto atau video. Grafik yang dihasilkan sewajarnya mengandungi tidak lebih daripada tiga warna namun ada juga terdapat grafik yang mempunyai lebih daripada tiga warna. Hal ini kerana ianya bergantung kepada objektif yang ingin disampaikan. Contohnya, sekeping gambar kasut berwarna merah dan disertai latar belakang yang berwarna putih. Foto ini akan membuatkan gambaran kasut itu lebih jelas.

            Elemen teks dalam grafik pula merujuk kepada jenis dan saiz font yang dipilih dalam persembahan grafik. Selain itu, kandungan dalam teks juga diambil kira bagi tujuan pemahaman terhadap grafik. Faktor yang terdapat dalam elemen grafik perlulah diteliti dengan baik supaya mesej yang hendak disampaikan dapat difahami oleh orang lain. Namun begitu, terdapat juga grafik yang tidak mempunyai teks kerana ingin orang yang melihat grafik itu yang mewujudkan teks semasa melihat grafik tersebut.

            Elemen kesesuaian dalam grafik pula didefinisikan sebagai grafik yang bersesuaian dengan latar tempat iaitu latar tempat, latar masa, latar watak yang terdapat dalam sesuatu foto ataupun video. Setiap watak dalam grafik perlulah bersesuaian antara satu sama lain. Contohnya, iklan kasut sukan perlu letak gambar orang memakai pakaian dan kasut sukan, bukannya pakaian uniform sekolah.

            Elemen keseimbangan dalam sesuatu grafik merujuk kepada ruang dalam foto atau video. Ruang yang dimaksudkan ialah ruang kiri, kanan, atas dan bawah dalam sesuatu grafik. Dalam grafik yang dihasilkan, bahan dalam grafik tersebut hendaklah seimbang, iaitu ruang kosong atau grafik yang sama berat dalam ruang tersebut. Contohnya, dalam sekeping foto terdapat gambar sebuah pokok di ruang kiri dan gambar harimau di ruang kanan telah menjadikan foto itu seimbang.




No comments:

Post a Comment